Aidilfitri tahun ini….

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua sahabat beragama Islam. Bagi penulis, agama Islam ialah agama yang mendidik sifat penyayang, persefahaman dan keamanan. Umat Islam membentuk lebih daripada 65% populasi Malaysia dan sudah pasti Hari Raya Aidilfitri disambut lebih meriah daripada perayaan yang lain. Malah, kekuatan dan keimanan umat Islam yang berjaya berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, menjadikan kehadiran Syawal itu bertambah nikmat.

Namun tahun ini, insiden Plaza Low Yat baru-baru ini mungkin menjadikan suasana Hari Raya tahun ini sedikit tegang. Hal yang disyaki sebagai satu kes pencurian kecil dapat meletuskan perbalahan, mengguris hati kita dan mencetuskan huru-hara.

Pengajaran

Insiden Plaza Low Yat dapat dijadikan satu pengajaran kepada kita semua. Pertama, rakyat Malaysia terlalu mudah mempercayai kata-kata di media sosial, terutamanya yang berbaurkan perkauman dan membangkitkan emosi. Pada persepsi umum, jika banyak orang mengatakan sesuatu perkara dan menaruh benci, maka sudah tentu perkara itu dikira betul dan boleh dipercayai.

Hakikatnya, sesuatu yang sentiasa diperkata-katakan itu tidak semestinya sahih dan benar. Jika penjelasan Ketua Polis Negara yang terpampang di dada akhbar pun boleh disangkal oleh peguambela kepada pemuda yang disyaki mencuri, dapatkah kita mempercayai segala kata-kata dan laporan berita tanpa menyaksikan keadaan sebenar? Oleh itu, pengajaran utama kepada kita semua adalah untuk menentukan kesahihan sesuatu berita sebelum dikongsikan di media sosial atau dibataskan sebagai muzakarah sahaja.

Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan kita haruslah bijak menggunakan kebebasan ini terutamanya dalam media sosial. Penulis ingin memetik pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang berkata bahawa banyak perkara dapat diselesaikan melalui perundingan. Perbincangan yang ditimbulkan melalui media sosial merupakan satu platform yang cukup baik untuk menajamkan minda dan meluahkan pandangan.

Namun, seperti dalam seminar atau mana-mana persidangan yang diadakan, panel penceramah selalunya dibimbing oleh seorang penyederhana atau moderator. Dalam ruangan media sosial pula, tuan punya status atau pandangan itulah yang harus menjadi moderator untuk mengawal situasi apabila komen-komen yang tertimbul tidak relevan atau mula menjadi rancak dengan niat yang tidak baik. Dalam forum atas talian pun begitu. Ada moderator yang ditanggungjawabkan untuk menjalankan tugas mereka. Jika kami berjaya menjadi moderator kendiri untuk segala hujah dalam media sosial dan bijak bertindak apabila berlaku perbualan yang tidak diingini, maka tidak akan timbul soal kawalan sosial media oleh kerajaan.

Kedua, penulis merasakan bahawa kes yang disyaki pencurian di Low Yat itu cumalah percikan yang amat sedikit tetapi apabila dicampur dengan cerita-cerita perkauman dan dibantu media sosial serta pengendali yang tidak bertanggungjawab, api itu dapat membakar hati setiap rakyat Malaysia. Ibarat menuang minyak ke api, seorang pengendali blog turut disyaki merosakkan keadaan dengan menulis blog yang tidak tepat untuk membangkitkan kemarahan segelintir rakyat.

Malah, selepas kejadian di Plaza Low Yat, liar pula disebarkan melalui pesanan telefon palsu bahawa kawasan sekitar Bukit Bintang, yang merupakan tumpuan pelancong itu, tidak lagi selamat dikunjungi. Penulis berkerja di Yayasan Usman Awang yang berpremis di Kompleks Sun dan masih selamat ke pejabat setiap hari. Jelaslah bahawa perpaduan kaum negara kita begitu rapuh, jiwa rakyat cukup mudah diracuni ketakutan dan keadaan begini tidak sihat untuk pembangunan negara yang sedang berkemudi ke arah negara maju.

Soalnya di sini, apakah langkah kerajaan seterusnya untuk menangani kes-kes sebegini agar tidak berlaku lagi? Apakah rakyat Malaysia turut bertanggungjawab dalam insiden ini? Mereka yang menyebarkan berita palsu, yang difikirkan mungkin benar dan menarik, melalui media sosial, jarang sekali memohon maaf atas kesilapan diri. Kalau mahu menarik balik hujah mereka melalui media sosial dan menanggung malu, jauh sekali.

Dato’ Seri Nazir Razak menyarankan rasisme sebagai satu jenayah. Walaupun penulis tidak bersetuju dengan cadangan itu, penulis berasa ada perlunya untuk kita semua sama-sama belajar dan bertambah matang selepas insiden Plaza Low Yat ini. Jika generasi muda tidak pernah merasa keperitan insiden Mei 13 yang menjadi tamparan hebat, cukuplah insiden Plaza Low Yat yang kecil ini mengingatkan kita akan kepentingan perpaduan negara dan kematangan fikiran.

Kita ambil yang jernih, buang yang keruh. Kita ingat-ingatlah pengajaran yang disajikan oleh insiden Plaza Low Yat ini, dan lupakanlah warna dan perbezaan antara kita.

Maaf Zahir dan Batin

Maaf-bermaafan merupakan budaya Timur dan adat umat Islam yang turut menular dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Penulis merasakan bahawa insiden Plaza Low Yat mungkin tidak berlaku jika yang disyaki dan yang mensyaki itu saling maaf-bermaafan. Pemuda-pemuda yang dipukul oleh sekumpulan belia pada malam selepas insiden Plaza Low Yat pun tidak menaruh dendam. Patutlah juga mereka yang memukul itu diberi peluang memohon maaf atas kejadian tersebut.

Aidilfitri tahun ini, marilah kita kunjung-mengunjungi sahabat-sahabat yang beragama Islam. Jika tiada kawan Melayu, kunjungi sajalah jiran yang menyambut Aidilfitri. Setahu penulis, rumah mereka sentiasa terbuka kerana kaum Melayu memang terkenal dengan sifat ramah dan mesra.

Dalam penulisan pandangan ini, jika penulis menyinggung perasaan mana-mana pihak yang sudah pasti tidak disengajakan, penulis menyusun sepuluh jari memohon maaf. Maaf zahir dan batin dan semoga Aidilfitri tahun ini disambut meriah. Benarkan penulis mengungkapkan dua bait puisi Usman Awang sebagai penutup kata.

Malu aku seorang pemuda
kalau hidup belum berjasa
hanya cakap atau kata-kata
aku pemuda harapan bangsa

…..

Sedar dan insaflah saudara
mari bersama menyembahkan bakti
untuk bangsa dan negara
hingga tercipta merdeka abadi.

(Dipetik dari puisi Mari Berbakti oleh Tongkat Warrant, 13 Mei 1949)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share →