Saudara Pengarang,
Merujuk berita terkini dalam akhbar tempatan The Star 12 Mac 2012 “Kementerian: Undang-undang pemindahan organ perlu digubal,” saya amat prihatin dengan perkembangan pendermaan organ dan pemindahan organ di Malaysia.
Sebagai seorang yang telah mendermakan sebahagian hati, saya telah memahami dan berpeluang merasai perasaan, komplikasi dan kesan pendermaan sebahagian hati itu kepada seseorang. Malaysia mendaftarkan lebih daripada 20,000 pesakit yang menunggu organ terutamanya pesakit buah pinggang. Namun, ramai menemui ajal dek menanti organ yang sesuai kerana kekurangan penderma organ.
Memandang bilangan kemalangan yang dilaporkan setiap hari amatlah tinggi, maka Malaysia mempunyai potensi yang amat besar untuk pendermaan organ. Walau bagaimanapun, seruan pesakit-pesakit ini sering tidak didengar kerana kita mementingkan diri kita. Apabila terdapat kekurangan organ daripada penderma orang yang sudah meninggal dunia, penderma hidup dicari sebagai ganti terbaik untuk pendermaan organ.
Oleh itu, perdagangan organ, pasaran gelap dan penyeludupan manusia yang berkaitan dengan penjualan organ meningkat. Perkara ini harus dihentikan!
Rakyat Malaysia, marilah kita BERTINDAK! Marilah kita memberi harapan kepada beribu-ribu orang dalam senarai menunggu organ! Berikrarlah untuk mendermakan organ selepas kematian di laman http://agiftoflife.gov.my dan bincang dengan ahli keluarga anda mengenai keputusan anda.
Setiap individu mampu membawa perubahan kepada kehidupan manusia. Bincangkan topik pendermaan organ semasa sesi teh tarik, fahamilah pendermaan organ melalui internet, berikanlah bantuan di mana-mana kempen pendermaan organ dan lebih baik lagi jika anda dapat menganjurkan kempen kesedaran derma organ di kawasan anda. Dapatkan penceramah untuk memberi ceramah di organisasi anda, tempat beribadat, ataupun di rumah! Saya turut berasa amat gembira jika dapat menyumbang tenaga dengan berkongsi pengalaman saya sebagai seorang penderma hati.
Untuk setiap penerima organ yang anda selamatkan, ingatlah bahawa anda juga menyelamatkan satu lagi nyawa yang mungkin diambil supaya organ-organ mereka dijual. Marilah kita berikrar untuk menjadi penderma organ hari ini melalui laman web http://agiftoflife.gov.my
CHEW HOONG LING
Presiden, Persatuan Suara Wanita Kuala Lumpur dan Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share →