Saudara Pengarang,

Akhir-akhir ini, terbuka kembali bicara tentang sekolah satu aliran memandangkan isu kerapuhan perpaduan kaum timbul dek pelbagai peristiwa yang memporak-perandakan keutuhan integrasi nasional. Penulis berdiri di antara setuju dan tidak setuju dengan sekolah satu aliran dan memohon izin untuk melontarkan pendapat yang berbeza.

Pertamanya, isu kerapuhan perpaduan kaum wujud kerana manusia mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan mengikut keperluan dan darjat kehidupan. Perpaduan satu kaum sahaja pun sukar dicapai, inikan pula perpaduan pelbagai kaum. Kejayaan kita hidup dalam keadaan aman dan damai lebih daripada 60 tahun merupakan keunikan Malaysia dan kita harus meraikan keharmonian ini.

Kedua, perpaduan kaum merupakan satu perjalanan yang tidak mudah. Malah usaha berterusan harus dilakukan setiap hari, setiap saat, bukannya hanya setiap tahun pada Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia atau apabila berlaku insiden yang memisahkan kita. Malaysia juga memerlukan inisiatif yang mungkin kecil tetapi mampu menyatu padukan rakyat. Besar kemungkinan tidak memerlukan usaha yang begitu sukar dan payah seperti menyatukan semua aliran sekolah.

Tidak dinafikan bahawa sistem pendidikan merupakan tunjang utama negara. Namun, tiada salah dan keburukannya jika sekolah pelbagai aliran masih diteruskan. Akan tetapi, jangan dibataskan satu kaum sahaja yang boleh menggunakan kemudahan sekolah-sekolah ini.

Contohnya, sekolah-sekolah Cina yang kemudiannya diserapkan menjadi sekolah jenis kebangsaan Cina, mula didirikan oleh pedagang Cina sebagai institusi pembelajaran untuk anak-anak mereka, sebelum kemerdekaan lagi. Tenaga dicurahkan dan wang ringgit berjuta-juta dibelanjakan untuk menyediakan kemudahan ini kerana kaum Cina memandang tinggi kepentingan pendidikan. Walaupun begitu, sekolah Cina, samada jenis kebangsaan atau persendirian, tidak pernah dibataskan untuk kaum Cina sahaja. Sekolah jenis kebangsaan Cina kini menarik lebih daripada 13% pelajar bukan Cina dan dilihat sebagai sekolah pilihan untuk mempelajari bahasa Cina serta mempunyai sistem pendidikan yang dianggap lebih berkualiti.

Percampuran kaum berlaku di sekolah-sekolah Cina sedangkan masih ramai melaung agar disatukan dengan sekolah lain dalam satu aliran demi perpaduan. Hakikatnya, memang tiada batasan perkauman dan rakyat Malaysia bebas memilih bersekolah di sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan, antarabangsa, swasta dan persendirian.

Profesor Datuk Teo Kok Seong dalam rencana “Sekolah satu aliran utuh perpaduan” yang disiarkan dalam Berita Harian 30 September 2015 menyenaraikan tujuh aliran persekolahan dan mencadangkan hanya tiga aliran dapat disatukan. Jika disatukan tiga aliran persekolahan sahaja, masih terdapat sekolah-sekolah berlainan aliran. Tidak mungkinkah nanti wujud pula percambahan sekolah aliran yang belum disatukan? Samalah, masih juga wujud sekolah pelbagai aliran. Bilakah akan berakhirnya soal sekolah satu aliran ini? Belum disatukan pun sudah ada cadangan untuk menambah satu lagi aliran – sekolah aliran Inggeris.

Dalam rencana “Alasan diguna pertahan sekolah Cina tak masuk akal” pada 7 Oktober 2015 seolah-olah mencadangkan bahawa kaum Cina cumalah mementingkan ekonomi dan tidak menjaga nasionalisme apabila membantah penutupan sekolah Cina. Walaupun penulis tidak pernah bersekolah di sekolah Cina tetapi penulis mempunyai kawan-kawan lepasan sekolah Cina yang hebat dalam penguasaan Bahasa Melayu, malah ada yang menjadi guru bahasa kebangsaan. Semangat patriotik kawan-kawan dari sekolah Cina juga cukup tebal dan tidak pernah ditinggalkan negara demi ekonomi sahaja. Orang Cina diajar perkataan “negara” iaitu 国家 (guo jia), jika tiada keluarga 家 maka tiada negara 国, dan dengan itu mengutamakan keluarga dari segi ekonomi, taraf hidup dan tahap pendidikan kanak-kanak.

Dalam era globalisasi kini, kepelbagaian di sekolah harus diterima. Sistem pendidikan yang berbeza aliran sukar sekali disatukan. Dalam keadaan ini, ibu bapa berhak dan mempunyai kebebasan untuk memilih sistem yang dirasakan terbaik untuk anak-anak mereka. Jika tidak sesuai sistem pendidikan di Malaysia walaupun dengan kepelbagaiannya, ada juga yang menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara.

Perbezaan pendidikan bukan masalah utama. Walaupun dididik di satu sekolah yang sama pun belum pasti dapat mencurahkan rakyat satu bangsa yang bersefahaman. Dalam satu kelas sekalipun, walaupun diajar oleh guru yang sama dan mengikuti kegiatan yang sama, para pelajar yang sengaja diwarnakan satu warna pun akhirnya juga berbeza-beza fahaman. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan. Sudah pasti cara mendidik anak-anak di Semenanjung Malaysia turut berbeza dengan cara di Sabah dan Sarawak.

Pemisahan kaum ini berlaku bukan sahaja di sekolah. Satu lagi contoh ialah rumah kebajikan kanak-kanak yang dipisahkan antara kaum Melayu atau bukan Melayu. Yang menariknya, di rumah kebajikan bukan Melayu, kanak-kanak Cina pandai berbahasa Tamil dan kanak-kanak India pula petah berbahasa Cina. Saranan penulis pada tahun 2006 agar rumah kebajikan menyatukan pelbagai kaum tidak berjaya kerana memang menjadi kebiasaan keluarga menghantar kanak-kanak ke rumah kebajikan mengikut kaum.

Masyarakat Cina kadangkala merasakan bahawa sekolah Cina dijadikan karung tinju setiap kali soal perpaduan dibincangkan. Pertikaman lidah tentang sekolah satu aliran turut menikam hati masyarakat Cina yang telah mencurah tenaga untuk mendirikan institusi yang amat dibanggakan itu. Seolah-olah mudah sahaja diluahkan “sekolah satu aliran” yang menidakkan usaha mereka memartabatkan bahasa Cina sehingga menjadi pengiktirafan kuasa ekonomi dunia, China.

Justeru itu, apakah langkah terbaik untuk memupuk perpaduan sedangkan anak-anak kecil kita tidak dapat elak daripada lumrah manusia ini? Penulis sedar bahawa banyak usaha yang dapat dilakukan tetapi cuma mampu melemparkan beberapa pendapat.

Pertama, penulis menyarankan agar perbatasan kaum dalam satu aliran sekolah tidak berlaku. Keterbukaan untuk mengekalkan sekolah pelbagai aliran harus diiringi dengan keterbukaan semua aliran kepada semua kaum.

Kedua, penulis bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin yang pernah mencadangkan hari sukan antara sekolah-sekolah berlainan aliran. Tiada sesiapa dapat menyangkal peranan sukan dalam perpaduan negara dan semangat bersukan juga perlu dipupuk sejak rebungnya. Penulis menyarankan agar setiap pelajar diwajibkan memilih sekurang-kurangnya sejenis sukan dan diadakan bulan sukan antara sekolah, bukan sehari sahaja.

Malaysia sudah meratap dengan peratusan tertinggi melebihi 44% kadar obesiti sedangkan negara-negara jiran Asia Tenggara mencatat antara 10% hingga 32%. Di Jepun, sejak tadika lagi, waktu rehat murid-murid digunakan untuk mendidik pemakanan seimbang dan kepentingan bersenam, sekaligus menjadikan Jepun antara negara yang mempunyai populasi berumur paling panjang dengan purata 87 tahun. Cadangan bulan sukan antara sekolah ini dapat meningkatkan kesihatan, menggalakkan amalan gaya hidup sihat, mengurangkan kos perbelanjaan perubatan negara, menggalakkan pergaulan pelajar antara sekolah pelbagai aliran dan semoga mencapai matlamat perpaduan negara.

Ketiga, penulis ingin mencadangkan pertukaran pelajar antara sekolah-sekolah pelbagai aliran, malah melibatkan sekolah-sekolah Semenanjung-Borneo. Biarlah bulan sukan yang dicadangkan tadi dimeriahkan lagi dengan pertukaran budaya dan pelbagai aktiviti lain melalui program pertukaran pelajar ini. Contohnya, para pelajar boleh memperkenalkan masakan tempatan negeri masing-masing, acara puak dan kaum serta bahasa dan loghat negeri. Masa sebulan mungkin pendek tetapi persahabatan yang dijalin mampu kekal berpanjangan. Jika tidak dapat diadakan pertukaran pelajar sekalipun, boleh juga diadakan lawatan sambil belajar ke sekolah yang berlainan aliran.

Keempat, lagu-lagu patriotik yang sering kita nyanyikan di sekolah dahulu kala tidak menjadi kebiasaan di sekolah kini. Lirik lagu “Demi negara yang tercinta… dicurahkan bakti penuh setia..” masih terngiang-ngiang dalam minda walaupun telah 18 tahun meninggalkan bangku sekolah. Tahun ini, penulis menghadiri satu kem remaja yang kebetulan bertembung dengan hari kebangsaan. Pada pagi hari kebangsaan, kami berkumpul dan memainkan lagu Jalur Gemilang. Penganjur tidak mengedarkan salinan lirik lagu kerana berpendapat remaja sudah tentu menyanyikan lagu-lagu patriotik di sekolah. Alangkah terkejut apabila kebanyakan remaja tidak tahu lagu itu.

Lagipun, lagu-lagu patriotik tidak dimainkan di semua saluran television dan radio secara berkala seperti dua dekad yang lalu. Lantas itu, mengeluh pula para menteri apabila tidak ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang sempena hari kebangsaan. Hal ini kerana sifat patriotik tidak pernah dipupuk setiap hari. Penulis menyarankan agar lagu-lagu patriotik diseragamkan untuk dimainkan di semua stesen radio dan television serta dinyanyikan di sekolah, sama seperti pengumuman azan setiap hari.

Sesi penghayatan lirik lagu dan lagu-lagu patriotik harus diseragamkan dan dinyanyikan di sekolah dalam sesi perhimpunan. Ketiadaan lagu-lagu patriotik begitu lazim sehinggakan sesetengah rakyat berasa janggal dan timbul persoalan apabila lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan wayang dan persembahan teater.

Kelima, sastera dan seni budaya mampu mengeratkan perpaduan tetapi tidak banyak inisiatif kerajaan dalam menampung keperluan bidang ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), sepintas lalu disebutkan bahawa Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan dinaiktaraf sebagai universiti. Tiada perkara lain yang menekankan sastera dan seni budaya dalam RMK11. Malaysia nampaknya sedang menuju ke arah negara maju ekonomi tetapi miskin sastera, papa seni budaya dan rapuh semangat perpaduan.

Penulis menaruh harapan agar lebih banyak kegiatan perpaduan dianjurkan. Inisiatif kecil yang mampu memberi impak besar harus dilakukan secara berterusan. Semoga kita mencari jalan baru yang memberi impak dalam masa yang singkat dan mengusahakan sedaya mampu untuk perpaduan negara. Maka, tidaklah kita bergantung kepada usaha mewujudkan sekolah satu aliran yang memakan masa mungkin berdekad-dekad lagi dan tiada kepastian dapat mengeratkan silahturahim rakyat. Lebih memudaratkan, maruah masyarakat Cina yang pasti terasa tergugat dengan “kehilangan” sekolah Cina akan membawa padah kepada perpaduan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share →